Asigmnt subjek Gelagat Organisasi (OB) ni pasal kajian wanita sebagai sorang pemimpin. Aku letak banda ni dalam sini wat bahan bacaan. Kadang2 kena juga kongsi benda2 seyes cm ni. Baru berkembang skit otak ni..Hehehhee..
PERBEZAAN KEPIMPINAN WANITA DAN LELAKI DALAM SESEBUAH ORGANISASI
Terdapat ramai dalam kalangan wanita yang berjaya menjadi pemimpin. Walaupun terdapat perbezaan yang nyata dari segi fizikal, namun terdapat persamaan antara lelaki dan wanita sekiranya dilihat dari aspek bidang pekerjaan. Bukan semua pekerjaan yang dilakukan adalah khusus untuk satu golongan sahaja. Penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah penting berasaskan kepada tugas dan tanggungjawab malah merupakan satu usaha positif untuk mencapai tahap lebih tinggi berdasarkan kepada konsep pembangunan bersepadu iaitu dari aspek fizikal dan mental setanding dengan kaum lelaki. Namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak perbezaan di dalam corak kepimpinan antara lelaki dan wanita. Perbezaan ini merangkumi pelbagai aspek seperti perbezaan gelagat membuat keputusan, cara menyelesaikan konflik, personaliti, emosi, motivasi, dan sikap.
Proses membuat keputusan yang rasional adalah dengan mengenalpasti masalah, mengenalpasti objektif keputusan, menilai situasi, menilai alternatif, memilih tindakan yang terbaik, melaksanakan keputusan, memperolehi maklumbalas, dan seterusnya mengambil tindakan susulan. Proses membuat keputusan antara pemimpin wanita dan lelaki adalah berbeza. Pemimpin wanita lebih berhati-hati dan mengkaji setiap kesan yang bakal mendatang sekiranya sesuatu keputusan diambil berbanding pemimpin lelaki yang lebih mengikut emosi. Emosi adalah sesuatu yang dirasai oleh seseorang secara dalaman. Perkataan ‘emosi’ bermakna ‘gerakan tenaga’ yang berasal dari perkataan Latin (Childre dan Martin,1999). Menurut mereka, pengalaman emosi seseorang memberi kesan terhadap sel-sel otak dan ingatan, lalu membentuk corak-corak yang mempengaruhi perlakuan seseorang. Emosi seseorang sukar ditentukan secara objektif. Dalam sesebuah organisasi, tidak semua orang mempunyai emosi yang sama. Ini adalah kerana reaksi emosi seseorang adalah bergantung kepada jenis personaliti mereka. Wanita sememangnya sudah lumrah mempunyai sikap ketelitian dalam melakukan sesuatu tugas. Walaupun begitu, sikap sebegini selalu disalah tafsir dengan menyatakan ia adalah sikap cerewet. Pemimpin lelaki selalunya lebih ego dalam proses membuat keputusan. Mereka tidak dapat menerima pandangan dan cadangan dari orang bawahan. Dalam proses membuat keputusan yang rasional, setiap pemimpin perlu mengetahui kemampuan diri dan dapat menggunakan ilmu yang ada untuk memikirkan kesan kepada keputusan yang diambil.
Seterusnya, perbezaan yang ketara antara pemimpin wanita dan lelaki adalah melalui cara menyelesaikan konflik dalam organisasi. Konflik merupakan suatu elemen dalam kehidupan manusia sama ada di tempat kerja atau di luar tempat kerja. Ianya tercetus disebabkan seseorang itu mempunyai kemahuan dan pengharapan yang sering bercanggah dengan kemahuan dan pengharapan orang lain samada majikan, rakan sekerja, keluarga sendiri atau individu lain yang perlu berurusan dengannya. Antara tanda-tanda sesuatu konflik itu timbul adalah disebabkan oleh sikap tidak berkerjasama, percanggahan personaliti, perbezaan matlamat, kekurangan maklumat berguna, dan kurang kerjasama. Pemimpin wanita selalunya akan cuba memahami konflik yang sedang dihadapi dan cuba melengkapkan dirinya dengan strategi untuk menangani sendiri konflik tersebut. Pemimpin wanita mempunyai sikap yang lebih terbuka iaitu sedia mendengar masalah, memberi keyakinan, membimbing, meneroka masalah, mentafsir, dan menggalakkan komunikasi. Pemimpin wanita sentiasa positif dalam apa jua situasi dan tenang menghadapi sebarang masalah dalam organisasi. Mereka berusaha untuk menyelesaikan konflik dalam organisasi secepat yang mungkin dan memastikan pengurusan organisasi sentiasa berjalan lancar mengikut matlamat organisasi. Berbeza dengan pemimpin lelaki yang selalunya memandang remeh tentang konflik yang berlaku di dalam organisasi. Mereka lebih fokus kepada perkara-perkara yang penting tanpa menghiraukan konflik yang terjadi di dalam organisasi. Dalam hal ini, pemimpin sepatutnya sedar bahawa untuk menyelesaikan sesuatu konflik pepimpin perlulah mempunyai kemahiran komunikasi yang efektif terutamanya antara pihak atasan dan para perkerja. Kepemimpinan pengurusan atasan dalam organisasi juga harus menunjukkan sikap dan role model yang baik kepada para pekerja.
Personaliti yang menarik merupakan satu aset penting dalam memastikan masyarakat sekeliling merasa yakin dengan kemampuan seseorang pemimpin. Personaliti berasal daripada Bahasa Latin iaitu persona yang bermaksud topeng muka. Topeng muka ini di gunakan oleh pelakon-pelakon Yunani di atas pentas untuk berlakon. Mereka memakai topeng yang bersesuaian dengan watak mereka yang hendak dipersembahkan. Personaliti merujuk kepada pembentukan psikologi seseorang individu secara kesuluruhan yang merujuk kepada beberapa aspek seperti perangai, sentimen, kecerdasan, kepercayaan, cita-cita, dan nilai-nilai. Terdapat dua faktor utama yang akan mempengaruhi personaliti seseorang itu. Dua faktor yang utama tersebut adalah faktor baka atau genetik dan faktor persekitaran. Setiap faktor tersebut sedikit sebanyak akan mempengaruhi pembentukan personaliti seseorang individu tersebut. Wanita sememangnya mempunyai personaliti yang menarik., terutamanya wanita yang terlibat dalam bidang korporat. Mereka lebih mempunyai daya tarikan yang tersendiri dan mampu mempengaruhi individu di sekeliling mereka. Pemimpin wanita lebih mementingkan kesempurnaan dan kekemasan dalam melakukan sesuatu tugas dan hal ini berbeza dengan pemimpin lelaki yang kurang mengambil berat tentang perkara-perkara seperti ini. Hanya segelintir diantara mereka yang mementingkan hal yang berkaitan dengan personaliti.
Gaya kepimpinan antara lelaki dan wanita mungkin terdapat perbezaan antaranya ialah dari aspek sikap kedua-dua golongan ini. Beberapa kajian mendapati golongan lelaki lebih cenderung ke arah gaya ‘mengarah dan mengawal’. Mereka bergantung pada jawatan atau kuasa yang terdapat dalam jawatan rasmi bagi memberikan asas rangsangan. Bagi golongan wanita pula dikatakan lebih cenderung ke arah gaya kepimpinan yang demokratik. Mereka menggalakkan penyertaan, pembahagian kuasa dan maklumat serta cuba meningkatkan perasaan menghargai diri setiap pengikutnya. Mereka lebih suka memimpin melalui penglibatan ahli dan menggunakan karisma, kepakaran, hubungan, dan kemahiran perorangan mereka bagi mempengaruhi orang lain.
Emosi merujuk kepada sesuatu perasaan yang terus menerus kepada seseorang atau sesuatu benda. Malah, keupayaan untuk mengalami emosi yang berlainan pada masa yang sama membuatkan diri kita sebagai manusia yang unik. Kajian menunjukkkan bahawa wanita mempunyai emosi yang tinggi berbanding wanita. Kajian ahli psikologi moden, telah mengatakan bahawa lelaki dan wanita menunjukkan cara emosi yang berlainan bergantung kepada penghantaran dan penerimaan emosi. Malah, ahli psikologi juga telah mengatakan bahawa wanita mengekpresikan emosi mereka melalui ekpresi atau reaksi muka dan komunikasi interpersonal. Manakala, kebanyakan lelaki mengekpresikan emosi mereka melalui tindakan atau perbuatan. Sekiranya dalam organisasi, kita dapat lihat perbezaan yang ketara antara lelaki dan wanita iaitu sebagai seorang pemimpin ketika membuat sesuatu perkara atau membuat keputusan. Merujuk kepada jantina, wanita lebih beremosi dalam membuat sesuatu perkara atau dalam proses membuat keputusan berbanding lelaki yang lebih tenang dan kurang menunjukkan emosi mereka.
Komunikasi adalah proses pertukaran idea dan maklumat antara dua individu atau lebih dengan tujuan untuk berkongsi maklumat. Melalui aspek ini, kita dapat lihat bahawa terdapat perbezaan di antara pemimpin lelaki dan wanita cara bagaimana mereka berkomunikasi dalam organisasi. Cara lelaki berkomunikasi adalah satu isu perbincangan dalam satu masa, penyampaian maklumat secara ringkas, pertuturan langsung dan spontan, gemar berbalah, berminat pada fakta dan isu penting manakala cara wanita berkomunikasi pula adalah pelbagai isu perbincangan serentak dalam satu masa, penyampaian maklumat secara terperinci, pertuturan ekpresif dan bersintesis, gemar berkompromi, berminat pada cerita panjang dan hal rumit.
Motivasi adalah keinginan seseorang untuk berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat organisasi di samping berkeupayaan untuk memenuhi keperluan individu itu sendiri. Terdapat beberapa elemen penting dalam mendasari aspek motivasi ini iaitu usaha, matlamat organisasi dan keperluan individu. Dalam aspek ini, golongan wanita lebih bermotivasi dalam sesebuah organisasi berbanding golongan lelaki. Kebiasaannya pemimpin atau pengurus wanita lebih bermotivasi dengan sentiasa mahukan perkara yang lebih baik dan sentiasa memperbaiki segala kelemahan mereka berbanding dengan golongan lelaki yang sekadar berpuas hati dengan apa yang mereka ada. Tambahan lagi, menurut Kinicki & Williams terdapat lima kepentingan motivasi pengurus. Salah satunya ialah kehadiran pekerja. Dalam kebanyakan organisasi, masalah ketidakhadiran dan ketepatan masa adalah masalah yang sering berlaku. Hal ini sememangnya ada kaitan dengan motivasi di antara lelaki dan wanita. Seperti yang kita sedia maklum bahawa kebiasaanya masalah ketidakhadiran ini banyak datangnya dari lelaki. Hal ini membuktikan bahawa kurangnya motivasi dalam diri bagi seseorang lelaki dalam organisasi berbanding wanita.
0 comments:
Post a Comment